Sunday, May 17, 2009

ONE AFRICA

Berita pembebasan Nelson Mandela merobah corak pemerintahan apartheid di Afrika Selatan. Saya terbang ke Lusaka untuk merakamkan peristiwa penting ini. ANC beroperasi di Lusaka ,Zambia.
Perjuangannya ialah membela nasib orang kulit hitam dan pembebasan Mandela dari penjara. Kami terbang dengan MAS ke London dan dari London ke Lusaka, Zambia dengan Air Zambia. Krew kabinnya sederhana, pramugaranya memakali baju putih lengan panjang bertali leher hitam kecil. Tetapi terus senyum ketika melayan penumpang.
Tiba di lapangan terbang antarabangsanya, beg kami di bawa dengan forklift dan diletakkan di kawasan tanah merah. Penumpang berebut memilih beg masing-masing. Ketika di kaunter imigresen saya di tegur " You have a nice watch Sir". Saya membalasnya dengan senyum dan seram sejuk.
Kami tidak membuat sebarang tempahan bilik sebab tiada maklumat hotel di Lusaka. Lepas lebih dua jam baru jumpa sebuah hotel. Teksi yang kami naik agak uzur. Pintunya hanya boleh dibuka oleh pemandunya dari luar. Katanya kos penyenggaraannya mahal.
Mandela disambut oleh berpuluh ribu rakyat kulit hitam. Yang menariknya mereka berlari berbatu-batu, bersorak, menjerit ONE AFRICA, ONE ZAMBIA,ONE MANDELA. Tidak hairan pelari jarak jauh dunia adalah kalangan warga Afrika. Kerana semangat mereka tinggi. (ends)

Saturday, May 16, 2009

TRANSFORMASI

Kita sudah banyak mendengar mengenai transformasi. Ia datang seiring dengan slogan. Kita berharap slogan jangan hanya jadi gimik branding semata-mata.
Tetapi mampukah Datuk Seri Najib membawa transformasi ini ke akar umbi parti ?
Yang kita tahu pemimpin dan ahli UMNO lebih teruja untuk bercakap mengenai projek. Berapa kerat yang betul-betul perihatin mengenai nasib masa depan UMNO dan orang Melayu di Perak.
Yang kita dengar ialah ungkapan begini. " Susahlah nak cari makan kat Perak lagi. UMNO hancur. Nak dapat projek payah. Susah,susah."
Ada segelintir pula tersengih dan berkata," Nasib baik depa dah sain aku punya, selamatlah aku dalam empat lima tahun ini. Sekarang baik duduk diam-diam"
Sejak PRU 12 dulu belum pernah kita dengar ada orang UMNO yang berkobar-kobar mahu menyelamatkan UMNO di Kedah, Perak,Kelantan, Tanjung (Pulau Pinang) dan di Selangor.
UMNO ramai pemimpin tetapi kurang pelaksana.
24 jam sebelum PRU 12 lalu, Tun Abdullah pernah bertanya kepada pemimpin UMNO di Kelapa Batas mengenai peluang BN di Pulau Pinang. Malam sebelum itu Anwar Ibrahim telah pun mengisytiharkan bahawa Tanjung sudah menjadi milik pembangkang. Para pemimpin UMNO Pulau Pinang menjawab," Tiada masalah Pak Lah." Sambil menunjukkan thumbs-up.
Inilah antara masalah yang membelenggu UMNO, the denial syndrome.
Kenapa UMNO tidak segera mengenalpasti masalahnya dan atasinya ASAP. Bukan bermuka-muka, sembunyi belakang pintu, beri input popular dan kemudian salahkan orang lain.
Sedih melihat gelagat pemimpin UMNO yang hijack peruntukan kempen PRU, sabotaj kempen kerana tidak lagi jadi calun dan mencerca parti sendiri kerana projeknya tidak diluluskan.
Kalau inilah mentaliti orang UMNO, jangan mimpi mengenai transformasi.
UMNO mempunyai masa 3-4 tahun sebelum sekali lagi diuji dalam PRU 13. Apa pelan UMNO menarik minat pengundi muda yang rata-rata percaya apa yang ditulis di Internet.
Bagaimana mahu strategise peranan komponen BN dalam menentukan kemenangan. Sejak akhir-akhir ini MIC dan MCA sering mengkritik lagak pemimpin UMNO menyebabkan beberapa negeri jatuh ke tangan pembangkang.
Bagaimana nak menangani tomahan dan tuduhan pembangkang? Setakat ini memang kelihatan Anwar Ibrahim cuma "gempaq" saja, tetapi Anwar mungkin berjaya bukan kerana gempaqnya tetapi kerana kelemahan UMNO semakin sukar dibendung sehinggakan ia mendorong kepada PKR melengkapkan "jigsaw puzzle"nya.
UMNO juga mesti melihat di mana kekuatan PAS di Kedah,Kelantan, Terengganu dan Perlis. Karisma UMNO perlu dipulihkan di negeri-negeri ini. Bukan buat coup jawatankuasa masjid. Bukan tuduh orang PAS penipu. Bukan memecahkan lagi kesatuan ummah. "KAMI ADALAH HAMBA RAKYAT ". Ini bukan slogan baru. Ini realiti politik. Inilah yang perlu dilakukan oleh semua pemimpin dan ahli UMNO, bukan cuma Presiden UMNO seorang sahaja.(ends)





Friday, May 15, 2009

HAK ORANG MELAYU

Sejak suasana politik di negara ini kacau-bilau, ramai yang tumpang tui (ambil kesempatan) untuk memperkatakan apa saja yang mereka fikirkan. Walaupun kadang-kadang ia menyentuh sensitiviti kaum lain.
Soal hak semakin diketengahkan seolah-olah orang bukan Melayu di negara diainaya oleh kerajaan. Ini isu paling digemari pihak pembangkang atau NGO yang memang anti kerajaan.
Dulu soal kaum dibincang dan diselesaikan secara tertutup kerana ia selalunya mengundang kepada perbalahan yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.
Tetapi sekarang ramai yang mendabik dada memperjuangan hak kaum masing-masing sehinggakan kita rakyat biasa merasakan bahawa keharmonian semakin terhakis.
Secara tidak langsung kita memberitahu dunia luar bahawa Malaysia diambang konflik perkauman. Inilah yang digemari oleh kuasa-kuasa besar dunia, perpecahan dan konflik. Kerana nanti mereka ada alasan untuk campurtangan.
Kenapa atas nama demokrasi kononnya ada pihak yang melangkau sempadan mahu memusnahkan keharmonian ini. Kenapa atas nama populariti politik, kita mahu memporak-perandakan silaturahim.
Jangan biarkan ini berlaku. Anak-anak perlu dididik mengenai pentingnya hubungan kaum.
Sekolah perlu memainkan peranan. Sekolah Kebangsaan perlu dirombak untuk menarik minat semua kaum. Bukan untuk pelajar Melayu sahaja. Tidak semestinya Sekolah Kebangsaan menghilangkan identiti kaum.
Dulu ketika saya di Sekolah Kebangsaan Inggeris, ada murid Cina yang memasuki kelas Pendidikan Agama Islam. Tetapi sampai sekarang mereka tidak menukar agama. Pemimpin politik yang selalunya mensensasikan isu-isu begini. Saya juga belajar bermain pingpong dan bolakeranjang di rumah kawan bangsa Cina. Saya selalu diingatkan untuk pulang ke rumah apabila mereka mendengar azan maghrib.Kami membesar dalam keadaan saling menghormati.
Tetapi keadaan dah banyak berubah, dicuit sedikit, kita melenting. Toleransi kita semakin menipis. Bila keris secara simbolik dihunus, orang Melayu dituduh tidak menghormati kaum lain.Keris pun disarungkan semula.
Kini tindakan ke atas sesuatu kaum dianggap bermotifkan perkauman. Samada di sekolah, di pejabat, di jalanraya atau dalam sebarang pertubuhan, dalam apa sahaja keadaan, ada kaum yang mengambil kesempatan.
Untuk mengambil hati kaum lain, pemimpin politik menjanjikan itu dan ini kepada mereka.
Orang Melayu ternganga, meleleh air liur , mengenangkan masa depan dan hak mereka.(ends)