Friday, May 15, 2009

HAK ORANG MELAYU

Sejak suasana politik di negara ini kacau-bilau, ramai yang tumpang tui (ambil kesempatan) untuk memperkatakan apa saja yang mereka fikirkan. Walaupun kadang-kadang ia menyentuh sensitiviti kaum lain.
Soal hak semakin diketengahkan seolah-olah orang bukan Melayu di negara diainaya oleh kerajaan. Ini isu paling digemari pihak pembangkang atau NGO yang memang anti kerajaan.
Dulu soal kaum dibincang dan diselesaikan secara tertutup kerana ia selalunya mengundang kepada perbalahan yang boleh mencetuskan rasa tidak puas hati di kalangan masyarakat.
Tetapi sekarang ramai yang mendabik dada memperjuangan hak kaum masing-masing sehinggakan kita rakyat biasa merasakan bahawa keharmonian semakin terhakis.
Secara tidak langsung kita memberitahu dunia luar bahawa Malaysia diambang konflik perkauman. Inilah yang digemari oleh kuasa-kuasa besar dunia, perpecahan dan konflik. Kerana nanti mereka ada alasan untuk campurtangan.
Kenapa atas nama demokrasi kononnya ada pihak yang melangkau sempadan mahu memusnahkan keharmonian ini. Kenapa atas nama populariti politik, kita mahu memporak-perandakan silaturahim.
Jangan biarkan ini berlaku. Anak-anak perlu dididik mengenai pentingnya hubungan kaum.
Sekolah perlu memainkan peranan. Sekolah Kebangsaan perlu dirombak untuk menarik minat semua kaum. Bukan untuk pelajar Melayu sahaja. Tidak semestinya Sekolah Kebangsaan menghilangkan identiti kaum.
Dulu ketika saya di Sekolah Kebangsaan Inggeris, ada murid Cina yang memasuki kelas Pendidikan Agama Islam. Tetapi sampai sekarang mereka tidak menukar agama. Pemimpin politik yang selalunya mensensasikan isu-isu begini. Saya juga belajar bermain pingpong dan bolakeranjang di rumah kawan bangsa Cina. Saya selalu diingatkan untuk pulang ke rumah apabila mereka mendengar azan maghrib.Kami membesar dalam keadaan saling menghormati.
Tetapi keadaan dah banyak berubah, dicuit sedikit, kita melenting. Toleransi kita semakin menipis. Bila keris secara simbolik dihunus, orang Melayu dituduh tidak menghormati kaum lain.Keris pun disarungkan semula.
Kini tindakan ke atas sesuatu kaum dianggap bermotifkan perkauman. Samada di sekolah, di pejabat, di jalanraya atau dalam sebarang pertubuhan, dalam apa sahaja keadaan, ada kaum yang mengambil kesempatan.
Untuk mengambil hati kaum lain, pemimpin politik menjanjikan itu dan ini kepada mereka.
Orang Melayu ternganga, meleleh air liur , mengenangkan masa depan dan hak mereka.(ends)

No comments: